Ini adalah ayat-ayat Bible yang bercakap tentang baik
ROMA 12 : 21
21 Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan.
MAZMUR 1 : 1 – 6
1 Berbahagialah orang yang tidak mengikut nasihat orang jahat, tidak mengikut contoh orang yang berdosa, atau bergaul dengan orang yang menghina Allah,
2 tetapi suka mentaati Taurat TUHAN dan merenungkannya siang malam.
3 [1†] Mereka berjaya dalam segala usaha; mereka seperti pokok yang ditanam di tepi sungai yang berbuah pada musimnya, dan tidak pernah layu daunnya.
4 Tetapi orang yang jahat tidak begitu; mereka seperti sekam yang ditiup angin.
5 Orang yang jahat akan dihukum oleh Allah, dan dipisahkan daripada umat-Nya.
6 Orang yang taat dipimpin dan dilindungi TUHAN tetapi orang yang jahat menuju kebinasaan.
MARKUS 10 : 17 – 22
17 Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
18 “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah.
19 [84†] Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ”
20 “Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.”
21 Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”
22 Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.
Leave a Reply